Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, melabel Lionel Messi sebagai "salah seorang pemain terbaik dunia" selepas bintang Barcelona itu memenangi Ballon d'Or buat kali keenam.

Messi mengatasi pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, serta bintang Juventus, Cristiano Ronaldo, untuk memenangi anugerah itu di Paris semalam.

Lewandowski, yang berada di tangga kelapan senarai akhir anugerah itu, memberikan pujian kepada Messi di atas dominasinya lebih daripada sedekad.

"Semestinya, dia seorang pemain terbaik. Hanya tahniah boleh saya katakan kepadanya," katanya.

"Ini bukanlah kali pertama Messi bergelar pemain terbaik dunia, dia bukan sahaja melakukannya sejak beberapa musim lalu.

"Saya sangat gembira mendampingi ramai pemain berkualiti kerana kami hanya dapat bertemu di atas padang dan ini merupakan satu perasaan yang berbeza.

"Sudah pasti Messi adalah seorang pemain terbaik, bukan hanya sejak beberapa tahun lalu tetapi sejak 10, 15 tahun lalu."
Penyerang berusia 31 tahun itu menikmati satu lagi musim cemerlang bersama Bayern, dengan dia kini telah menjaringkan 27 gol dalam 21 perlawanan bagi semua kejohanan.

Kelab gergasi Jerman itu kini di tangga keempat Bundesliga, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Borussia Monchengladbach, tetapi Lewandowski berasakan pasukannya masih lagi dalam proses mendapatkan rentak terbaik.

"Saya berasakan apa yang telah kami lakukan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini akan memanfaatkan pasukan pada masa akan datang. Saya yakin Bayern mampu bermain dengan lebih baik lagi.

"Kami memiliki ramai pemain ternama yang berpotensi dan magis akan hadir musim depan."