Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo menamatkan tempoh 'rehat' daripada arena antarabangsa dan kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing awal pagi tadi, namun gagal mencetus inspirasi untuk meraih kemenangan.

Messi dan Ronaldo disingkirkan daripada Piala Dunia 2018 pada hari yang sama selepas Argentina dan Portugal terkandas dalam pusingan 16.

Kedua-dua pemain itu -- pemenang lima kali Ballon d'Or setiap seorang -- terlepas enam perlawanan bersama skuad kebangsaan dan tanpa dirancang, mereka kembali ke pangkuan pasukan masing-masing pada waktu yang sama.

Justeru, ayuh lihat bagaimana bintang besar dunia bola sepak ini melalui malam yang mengecewakan di pentas antarabangsa.

Lionel Messi - Argentina 1 Venezuela 3

Messi kembali sebagai kapten dalam aksi persahabatan di Madrid, namun dikejutkan dengan gol awal Salomon Rondon yang membolehkan Venezuela mendahului pada minit keenam.

Pemain berusia 31 tahun itu mempamerkan kemampuannya dan ketika melakukan hantaran untuk ditanduk Lautaro Martinez dari jarak dekat, ia cukup untuk dijadikan bukti.

Martinez melakukan tandukan deras tetapi bola menemui penjaga gol, Wuilker Farineza, yang mempamerkan reaksi pantas menolak bola keluar melepasi palang.

Farinez kemudian memaksa Messi melepaskan percubaan dari tengah kotak penalti -- yang menjadi satu-satunya percubaan tepat buatnya -- yang melepasi palang tatkala Argentina terdesak untuk menyamakan kedudukan.

Namun, Jhon Murillo menggandakan kelebihan buat Venezuela menerusi rembatan dari jarak 18 ela sebelum rehat.

Messi terlibat dalam satu serangan balas yang membawa kepada jaringan Martinez, namun impak yang diberikan merudum selepas itu dan Josef Martinez melengkapkan kejutan menerusi sepakan penalti 15 minit sebelum aksi tamat.

Tidak lama kemudian, Messi diumumkan bakal terlepas aksi berdepan Maghribi pada Selasa ini akibat kecederaan.

Cristiano Ronaldo - Portugal 0 Ukraine 0

Portugal memulakan kempen kelayakan Euro 2020 selaku juara bertahan tetapi cabaran mereka bermula suram ketika berdepan Ukraine walaupun Ronaldo kembali memperkuatkan pasukan.

Bagaimanapun, usaha yang dicatat pemain itu tidak boleh dinafikan apabila Ronaldo mencipta tujuh percubaan ke pintu gol dan tiga daripadanya tepat ke sasaran.

Pemain berusia 34 tahun itu dinafikan dua kali peluang untuk mencipta jaringan oleh Andriy Pyatov dalam babak pertama.

Pertama, Ronaldo cuba meloloskan bola di celah kaki penjaga gol itu yang pantas menafikan usaha tersebut dan empat minit kemudian, Pyatov merebahkan badan ke kanan untuk sekali lagi menyelamatkan gawang selepas bekas tonggak Real Madrid itu mencipta ruang melakukan rembatan.

Andre Silva gagal menyudahkan peluang hasil gerakan Ronaldo pada awal babak kedua dan ketika masa kian suntuk, bintang Portugal itu melonjak tinggi untuk menyambut bola hantaran lintang William Carvalho tetapi bola tandukanya itu tepat kepada Pyatov.

Portugal bakal melayan kunjungan Serbia dalam perlawanan kedua kelayakan Isnin ini.