Messi puji "langkah kecil" Barcelona

Oleh Staff Writer 17 April 2019 1122
Messi puji
BARCELONA 3 MANCHESTER UNITED 0

Lionel Messi percaya Barcelona telah mengambil "langkah kecil" untuk memenangi kejuaraan 'treble' selepas menyingkirkan Manchester United daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) di peringkat suku akhir.


Messi menjaringkan dua gol ketika meraih kemenangan 3-0 di Nou Camp awal pagi tadi untuk memastikan kemenangan agregat 4-0 ke atas skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Dengan kelebihan sembilan mata dalam saingan LaLiga dan menanti aksi final Copa del Rey bertemu Valencia, Barca berada di landasan untuk menjuarai tiga gelaran, yang kali terakhir diraih di bawah pimpinan Luis Enrique pada musim 2014-15.

Messi mahu gelaran saingan domestik dimenangi secepat mungkin bagi meningkatkan peluang untuk membolot setiap kejuaraan yang ditawarkan musim ini.

"Seperti apa saya katakan, saya bergembira di atas kemenangan ini," kata Messi.

"Kami telah mengambil langkah kecil (ke arah 'treble'). Kami perlu beralih tumpuan kepada LaLiga dan menjuarainya secepat mungkin.

"Kami perlu membuat persiapan menghadapi aksi separuh akhir UCL sebaik mungkin," katanya.

Kemenangan Barca turut diikuti penyingkiran Juventus di tangan Ajax di Turin, dengan kelab Eredivisie itu meraih kemenangan 2-1 dan 3-2 secara agregat untuk lolos ke separuh akhir.

Keputusan itu ternyata menggembirakan penyokong di Nou Camp kerana Ajax telah menyingkirkan penyandang juara, Real Madrid, dalam pusingan sebelum ini sebelum menutup peluang Cristiano Ronaldo bersama Juve untuk menakluk Eropah.

Messi percaya keputusan tersebut membuktikan kesukaran untuk menjuarai saingan ini.

"Ia memberitahu segala-galanya. Mereka adalah yang terbaik.

"Kami telah mengalaminya musim lalu ketika berdepan Roma 3-0 -- setiap perlawanan adalah sukar, mana-mana lawan sekalipun sukar untuk diramal."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen