Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memuji Lionel Messi sebagai "pemain terbaik pernah dilihat sepanjang hayatnya" tetapi berasakan Virgil van Dijk seharusnya memenangi Ballon d'Or.

Bintang Barcelona, Messi, meraih gelaran berprestij itu buat kali keenam, dengan penganjur, France Football, mengumumkan bahawa dia memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pencabar terdekat, Van Dijk, sekali gus menjadi undian yang paling sengit dalam sejarah 63 tahun penganjuran anuegerah itu.

Kapten Barca itu menamatkan undian dengan kutipan 686 mata manakala Van Dijk, 679.

Sambil menyanjungi Messi sebagai pemain terhandal generasi ini, Klopp berasakan Van Dijk seharusnya dijulang sebagai pemenang atas sumbangannya membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Dia memberitahu sidang media: "Keputusan itu dibuat oleh pihak wartawan bukan? Saya melihatnya daripada pandangan yang berbeza. Lionel Messi mungkin pemain terbaik yang pernah saya lihat tetapi saya tidak mengingati musim yang lebih cemerlang dipamerkan oleh seorang pemain pertahanan.

"Ia seharusnya dimenangi Van Dijk. Kami memenangi UCL dan dia memiliki musim yang cemerlang."

Van Dijk dijangka berada dalam jentera pertahanan Liverpool untuk aksi berdepan Everton di Anfield awal pagi esok.

Undian pusingan ketiga Piala FA yang semalam menyaksikan Liverpool akan sekali lagi bertemu Everton awal tahun depan, dengan Klopp mendedahkan beliau memilih untuk mendapatkan perlawanan yang lebih mudah.

"Saya tidak berlari di ruang tamu dan meraikan undian tersebut. Ia bukanlah sesuatu yang anda impikan tetapi kami tidak ada masalah bertemu Everton. Ia adalah perlawanan yang sukar."