Jesse Lingard berkata Lionel Messi telah mempamerkan aksi terbaik selepas kapten Barcelona itu meledak dua gol untuk menyingkirkan Manchester United dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Messi meledak dua gol dalam separuh masa pertama bagi mengetuai kemenangan 3-0 dalam aksi timbal balik di Nou Camp untuk melangkah ke separuh akhir.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu sekadar bertindak sebagai perancang ketika meraih kemenangan 1-0 di Old Trafford dan kali ini bertindak sebagai penjaring, sekali gus meleburkan harapan United.

Philippe Coutinho melengkapkan kemenangan 4-0 secara agregat dan penyerang United, Lingard, memberitahu BT Sport, "Anda tidak boleh melakukan kesilapan dalam perlawanan sebegini.

"Kami mendominasi 15 hingga 20 minit pertama dan perlawanan ini hampir memihak kami tetapi peluang gagal dilunaskan.

"Messi adalah salah seorang pemain terbaik dunia dan dia telah mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Apa yang kami mampu lakukan adalah melihat ke hadapan.

"Kami akan sentiasa dilabel sebagai pasukan bukan pilihan. Jika 15 minit pertama memihak kami, perlawanan ini mungkin berpihak kepada kami.

"UCL adalah saingan yang sukar dan kami akan berusaha untuk kembali ke pentas ini."