Lionel Messi berasa bahawa Barcelona masih belum pulih daripada kekalahan mengejut di tangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad kendalian Ernesto Valverde itu berpeluang untuk menjulang kejuaraan berganda kali kedua berturut-turut apabila turun berdepan Valencia di pentas final Piala Raja Sepanyol awal pagi esok.

Kejayaan menjuarai LaLiga disahkan penuh bergaya tetapi kekalahan 4-0 di Anfield -- setelah menang 3-0 dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara -- merencatkan kempen cemerlang Barca.

Messi dilihat gagal memberi impak di Anfield tatkala anak buah Jurgen Klopp itu menampilkan kecemerlangan dalam babak kedua dan walaupun telah dua minggu berlalu, kekalahan itu masih dirasai.

"Perlawanan menentang Liverpool benar-benar memeritkan. Ia adalah detik paling sukar tahun ini dan bukan mudah untuk bangkit," kata Messi.

"Saya menyalahkan pemain, bukan hanya jurulatih. Saya mendengar banyak kritikan terhadap Valverde tetapi saya tidak menyalahkannya di atas kekalahan di tangan Liverpool. Pengurus telah menjalankan tugas dengan baik.

"Saya menyalahkan skuad. Kami tidak mampu melalui perlawanan seperti itu lagi."

Messi meraih anugerah Kasut Emas Eropah selepas Kylian Mbappe gagal menyumbat empat gol dalam perlawanan yang menyaksikan Paris Saint-Germain (PSG) tewas 3-1 di Reims awal pagi tadi.

Namun, pemenang lima kali Ballon d'Or itu tidak mahu memikirkan anugerah individu sambil menjelaskan kesedihan tewas di tangan Liverpool masih menghantuinya.

"Saya masih fikirkan kekalahan di tangan Liverpool. Saya tiada masa untuk memikirkan mengenai anugerah Kasut Emas," kata Messi.

"Saya fokus untuk menang awal pagi esok dan cuba melupakan apa yang berlaku di Anfield.

"Kami melalui aksi sama di Rome tahun lalu. Dalam babak kedua, kami tidak bersaing dan kami tidak mampu menanganinya. Liverpool jauh lebih baik berbanding kami.

"Ia satu perlawanan yang menyedihkan. Ia boleh berlaku sekali tetapi apabila terjadi dua kali berturut-turut sewaktu anda berpeluang ke final Liga Juara-Juara, ia sukar diterima.

"Perasaan itu sangat pelik dan sebab itu pasukan harus fokus untuk mendapatkan kejuaraan berganda. Kami dikejutkan di Anfield. Kami fokus dalam Liga Juara-Juara dan cuba untuk tidak mengulangi apa yang terjadi di Rome."

"Saya harus meminta maaf mengenai babak kedua di Anfield kerana keputusan itu memberi gambaran tentang kami.

"Kami perlu fokus dan cuba dapatkan Piala Raja Sepanyol. Jika kami tewas, ia akan memburukkan keadaan berbanding apa yang kami lalui ketika ini.

"Selain aksi menentang Liverpool, Barca meraih musim hebat, memenangi LaLiga dan kini cuba menjuarai Piala Raja Sepanyol. Kecuali persembahan di Anfield, kami menjalankan tugas dengan baik. Kami pasti melalui tahun hebat jika anda berupaya menangani perlawnaan tersebut."