Lionel Messi masih berpeluang untuk memenangi Piala Dunia jika Argentina tidak menamatkan proses yang sedang berjalan, kata bekas pengendali pasukan, Jorge Sampaoli.

Penampilan dalam edisi Piala Dunia yang keempat buat Messi di Russia berakhir dalam pusingan kedua selepas tewas di tangan Perancis sehingga membuatkan Sampaoli dipecat dan bintang Barcelona itu bakal berusia 35 tahun apabila tiba masa untuk Qatar 2022.

Bercakap buat kali pertama sejak dipecat, Sampaoli tetap yakin bahawa Messi -- yang masih belum pasti sama ada akan meneruskan karier di peringkat antarabangsa -- memiliki apa yang diperlukan untuk beraksi di pentas terbesar dunia itu sekiranya menerima sokongan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Ditanya sama ada Messi mampu menjulang Piala Dunia, Sampaoli menjawab: "Sudah tentu dia boleh tetapi ia memerlukan satu proses selepas melihat apa yang berlaku sekarang.

"Proses tidak dihentikan tetapi diperbetulkan. Untuk Piala Dunia atau Copa America seterusnya, mereka perlu disusun semula, mendapatkan keyakinan serta tahu apa yang diperlukan dalam semua proses.

"Dalam kata lain, jika gagal menjulang Copa America, proses itu tetap perlu kekal dan tidak dimusnahkan.

"Cukup dengan cara di mana jika anda tidak menang, anda kalah sepenuhnya. Ia bukan begitu. Jika anda percaya, ia tetap mampu dicapai di masa akan datang. Anda harus percaya."

Sampaoli mengendalikan Argentina selama 13 bulan dan dia mengakui ia menjadi satu cabaran buat dirinya serta rakan sepasukan Messi dalam mencapai tahap sebenar pemain berusia 31 tahun itu.

"Ia hebat, terutama apabila melihat tahap komitmen dan kekecewaan apabila tidak menang.

"Pemain terbaik dunia dalam sejarah sangat komited. Messi kecewa lebih daripada orang lain dan dia menanggung beban yang sangat besar kerana tidak mampu mencapai kejayaan secara berpasukan.

"Untuk memiliki pemain terbaik dunia dalam pasukan, anda memerlukan usaha yang maksimum. Pemain lain harus berada di tahap sama sepertinya tetapi ia tidak dapat diikuti sepanjang masa. Kami berjuang untuknya setiap hari.

"Apabila memiliki Messi, ia memaksa anda untuk tidak melakukan kesilapan ketika bercakap soal kemenangan."