Messi mahu Dembele bangkit, tampil lebih profesional

Oleh Staff Writer 13 September 2019 270
Messi mahu Dembele bangkit, tampil lebih profesional
Lionel Messi telah memberitahu Ousmane Dembele agar bangkit untuk Barcelona dan tampil lebih profesional.

Kisah tentang disiplin melibatkan Dembele, termasuk masalah lewat, telah menghantui penggempur Perancis itu.

Perkembangannya yang perlahan sejak hadir daripada Borussia Dortmund ke Camp Nou telah menyebabkan dia ditawarkan ke Paris Saint-Germain (PSG) dalam usaha membawa pulang Neymar.

Tiada persetujuan dicapai sebelum tamat jendela perpindahan awal bulan ini walaupun bekas pemain Rennes, Dembele, dikatakan ingin kembali ke Ligue 1.

Kapten Barca, Messi, secara terbuka menjangkakan sesuatu daripada Dembele musim ini walaupun pemain berusia 22 tahun itu hanya menjaringkan lapan gol dalam LaLiga musim lalu meskipun 20 kali berada dalam kesebelasan utama.

"Saya percaya dia pemain berbakat yang mampu melakukan apa sahaja yang dimahukan," kata Messi ketika sesi temubual dengan SPORT.

"Dia masih muda dan saya fikir penting untuknya bangkit seperti apa yang diinginkan oleh semua peminat Barca.

"Dia perlu lebih profesional, menetapkan usahanya agar berjaya di Barcelona seperti dimahukan. Saya harap dia tidak diganggu masalah kecederaan.

"Tahun lalu, ketika kami sangat memerlukannya, dia cedera. Diharapkan ia tidak berulang agar dia boleh mempamerkan semua kebolehan. Sebagai pemain, dia sangat bagus."

Bagaimanapun, Messi mengakui tidak mudah untuk menyinar bersama Barca selepas pemain seperti Philippe Coutinho gagal melakukannya.

"Sangat sukar untuk beraksi buat Barca," katanya.

"Ia kelab terbesar di dunia dan segalanya sukar.

"Peminat, kumpulan serta penglibatan media. Tidak mudah untuk datang dan melangkah ke Camp Nou. Ia tidak mengira siapa sahaja pemain itu.

"Apabila seseorang itu mempunyai mentaliti kuat dan yakin, segalanya berhasil. Namun, tidak semua orang sama. Sesetengahnya gagal menyesuaikan diri dengan cara sama.

"Tidak mudah untuk mewakili Barca," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen