BARCELONA 6 GIRONA 1

Barcelona menyamai rekod rentetan tanpa kalah semusim LaLiga.


Peneraju LaLiga itu belum tewas dalam 32 perlawanan dan terus mengukuhkan kedudukan menerusi kemenangan 6-1 ke atas jiran Catalan, Girona, di Camp Nou, awal pagi tadi.

Luis Suarez melengkapkan hatriknya selepas Lionel Messi meledak dua gol pada separuh masa pertama, yang menyaksikan Philippe Coutinho merekodkan gol sulung bersama Barca dengan bergaya.

Rekod itu menyamai pencapaian Real Sociedad pada 1979-80.

Barca mengatasi rekod sendiri, 31 perlawanan secara berturut-turut tanpa kekalahan, yang dilakar pada 2010-11 di bawah kendalian Pep Guardiola yang memenangi 27 perlawanan dan seri empat kali.

Sejak diambil alih oleh Ernesto Valverde, Barca hanya tewas tiga kali dalam semua pertandingan -- kedua-duanya tewas kepada Real Madrid dalam Supercopa de Espana pada Ogos lalu selain kekalahan 2-1 kepada Espanyol dalam pertemuan pertama suku akhir Copa del Rey sebelum mereka mara dengan agregat 2-1.

Kejayaan Barca ke atas Girona melebarkan penguasaan mereka kepada 20 kemenangan dan lima seri dalam 25 perlawanan. Mereka mendahului Atletico Madrid dengan 10 mata.

Sementara itu, Messi memahat sejarah tersendiri apabila menjadikan Girona mangsanya yang ke-36 dengan sentuhan penyudah pada minit ke-30.

Belum ada mana-mana pemain yang pernah meledak gol ke atas pasukan sebanyak itu di peringkat saingan tertinggi, dengan legenda Real Madrid, Raul, dan penyerang veteran Athletic Bilbao, Aritz Aduriz, melakukannya ke atas 35 pasukan.