Lionel Messi percaya Barcelona telah beraksi dengan baik sewaktu tewas di tangan Atletico Madrid dalam separuh akhir Piala Super Sepanyol tetapi menggesa rakan sepasukannya itu memperbaiki kesilapan mudah yang dilakukan.

Awal pagi tadi, Barca tewas 3-2 di tangan anak buah Diego Simeone itu di Jeddah, Arab Saudi, sekali gus membolehkan Atletico bertemu Real Madrid di pentas final.

Selepas Koke membuka tirai jaringan, Messi menyamakan kedudukan dengan rembatan kemas sebelum Antoine Griezmann meletakkan Barca mendahului bekas pasukannya, Atletico.

Namun, Barca sekadar melihat dua gol dinafikan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum Atletico bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kemenangan dramatik hasil sepakan penalti Alvaro Morata dan ledakan Angel Correa.

Messi mendakwa Barca tidak boleh kecewa dengan persembahan yang ditampilkan tetapi mengakui mereka tidak boleh terus melakukan kesilapan mudah.

"Agak kasihan, kami bermain dengan baik. Selepas sekian lama, kami kembali dengan perasaan yang bagus, mengawal permainan dan menyerang sepanjang masa," katanya.

"Kami tewas akibat kesilapan tertentu ketika lawan hampir kalah, kurang daripada 10 minit yang sepatutnya kami tamatkan.

"Hari ini, kami melangkah dengan kekalahan tetapi kami sedar tidak melakukan apa yang dirancang. Kami tidak mahu melakukan kesilapan mudah lagi.

"Ia menyakitkan kerana ini satu pertandingan dan kami mahu ke final serta bergelar juara. Kami bermain dengan baik, namun malang tidak mencapai kemenangan.

"Kami sedang berusaha untuk meningkat. Kini, kami memiliki beberapa hari sebelum menghadapi aksi seterusnya. Banyak perkara perlu dipertingkat dan walaupun kami tidak tampil cemerlang, kami perlu memperbaikinya."

Kekalahan itu juga menimbulkan persoalan mengenai masa depan pengurus, Ernesto Valverde, tetapi Messi menegaskan seluruh pasukan perlu teguh berada di belakang pengurus itu.

"Ia normal apabila menerima kekalahan dan sasaran tidak dicapai," tambah kapten Argentina itu.

"Orang ramai melihat pasukan merkea tidak beraksi seperti diinginkan, seperti yang kami mahu.

"Memang satu kebiasaan apabila mereka bercakap tetapi kami perlu bersatu. Ia situasi sukar kerana kami terlepas satu kejuaraan yang dimahukan tetapi kami perlu teruskan perjuangan."



Editor: Nafis Abdullah