Lionel Messi akan direhatkan sempena kunjungan Barcelona ke Sevilla bagi aksi Copa del Rey awal pagi esok, sebaliknya muka baru, Kevin-Prince Boateng, akan membuat kemunculan pertamanya.

Messi tidak diletakkan dalam kesebelasan utama ketika Barca bertandang ke Leganes dalam aksi LaLiga, Ahad lalu, namun masuk sebagai pemain gantian -- memainkan peranan dalam gol yang disumbat Luis Suarez sebelum melakar namanya sebagai penjaring.

Pengurus, Ernesto Valverde, mendedahkan beliau mungkin akan mengambil peluang ini untuk merehatkan Messi menjelang tempoh sibuk beberapa minggu akan datang, termasuk kempen Liga Juara-Juara (UCL) yang akan bersambung.

Justeru, Sevilla -- sebuah pasukan yang memiliki rekod cemerlang -- akan beroleh keberuntungan dalam pertemuan suku akhir Copa di Andalusia itu.

Begitupun, Boateng hampir pasti akan diturunkan buat kali pertama.

Bekas pemain antarabangsa Ghana itu yang dilahirkan di Jerman menyertai Barca dari Sassuolo dalam kesepakatan perjanjian secara pinjaman yang mengejutkan semalam.

Boateng, 31, kembali mewarnai bola sepak Sepanyol kerana sebelum ini dia pernah menyertai Las Palmas.

Bakat muda, Riqui Puig, juga disenaraikan dalam skuad, dengan Sevilla menyasarkan untuk menamatkan tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.