Dries Mertens mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona selepas menyamai rekod jaringan Marek Hamsik bersama Napoli awal pagi tadi.

Mertens menjaringkan golnya yang ke-121 dalam kesemua kejohanan bersama Napoli ketika pasukan Itali itu mengikat Barca 1-1 di Stadium San Paolo.

Penyerang berusia 32 tahun itu menyamai rekod berkenaan ketika melakukan jaringan gemilang pada minit ke-30 sebelum lawan mereka menyamakan kedudukan menerusi Antoine Griezmann sebelum sejam permainan.

Mertens, yang memintas rekod jaringan Diego Maradona (115) untuk menduduki tangga kedua pada Oktober lalu, dikeluarkan pada minit ke-54 selepas bertembung dengan bintang Barca, Lionel Messi.

Selepas perlawanan itu, Napoli mengeluarkan satu kenyataan dengan berkata: "Dries Mertens mengalami bengkak di buku lali kanannya selepas satu perlanggaran yang memaksanya untuk meninggalkan padang lebih awal dalam babak kedua menentang Barcelona malam ini."

Mertens menyertai Napoli daripada PSV pada 2013 sebelum pemain kebangsaan Belgium itu menyinar bersama kelab Serie A berkenaan.

Daripada 121 gol yang dijaringkannya, 90 daripadanya terhasil dalam Serie A manakala 26 lagi dalam kejohanan Eropah.

Musim ini, Mertens, yang kontraknya akan tamat pada penghujung musim dan dikaitkan untuk menyertai Chelsea dan Inter Milan, telah menjaringkan 12 gol dalam kesemua kejohanan.