Diego Maradona melabel Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Claudio Tapia, sebagai "tidak cekap" dan percaya skuad yang tumpas kepada Venezuela itu tidak layak menyarung jersi Argentina.

Berita kepulangan Lionel Messi menjadi bualan utama sejak mengundurkan diri selepas Piala Dunia 2018 untuk aksi di gelanggang keramat Atletico Madrid, Wanda Metropolitano, itu.

Begitupun, Argentina memang layak untuk tersungkur 1-3 kepada pasukan kendalian Rafael Dudamel itu meskipun Messi beraksi sepanjang permainan.

Ikon Argentina, Maradona, mengkritik semua pihak yang terlibat, namun kemarahannya menjurus kepada individu yang bertanggungjawab.

"Saya adalah rakyat Argentina sejati tetap saya berasakan saya berbeza dengan kumpulan jurulatih dan pemain ketika ini," katanya kepada pemberita.

"Saya tahu apa yang (Oscar) Ruggeri, (Gabriel) Batistuta, (Claudio) Caniggia fikirkan... mereka ini tidak layak untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Mereka yang tidak cekap dan berada di AFA itu berpendapat bahawa mereka akan menang ketika berdepan Venezuela?

"Venezuela adalah pasukan yang lebih baik manakala Argentina pula masuk melalui tingkap dan bukannya pintu depan. Ini kerana mereka mengkhianati dan sentiasa berbohong kepada orang.

"Saya minta maaf tetapi Argentina tidak akan memenangi sebarang perlawanan. Saya tidak tahu apa yang Tapia akan lakukan. Adakah dia mahu menjadi guru matematik atau apa-apa sekalipun tetapi dia tidak tahu apa yang dia lakukan.

"Saya minta maaf kepada rakyat Argentina kerana perlu terus mempercayai pembohong ini. Saya minta maaf kepada pemain yang wajah mereka terpampang tatkala mereka tidak perlu melakukannya.

"Pemimpinlah yang perlu mula melakukan sesuatu perkara itu dengan betul.

"Messi terpaksa mengabaikan pengkritiknya, padahal ia bukan salahnya. Dia berada dalam pasukan buruk, tidak teratur, pasukan yang selalu bergantung kepadanya dalam segala hal.

"Dia pemain yang amat luar biasa, tiada apa-apa yang perlu dilakukannya bagi membuktikan kemampuannya."

Argentina akan menentang Maghribi di tempat lawan, namun akan kehilangan sentuhan Messi akibat kecederaan.