Melaka menyediakan strategi ampuh untuk meraih kejuaraan pertama menentang juara bertahan, Kedah, menjelang aksi final Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019 Ahad depan.

Ketua jurulatih Melaka, Jamil Hassan, bertekad mengubati kekecewaan tahun lalu, di mana mereka tewas dalam final selepas melayakkan diri ke pentas akhir bagi edisi tahun ini.

Lebih menarik, lawan yang sama, iaitu Kedah, menanti mereka tatkala anak buah Jamil itu menundukkan pasukan dari utara itu 3-0 ketika saingan peringkat kumpulan.

Justeru, pengendali itu mahu meneruskan rentak cemerlang meskipun kehilangan dua tonggak utama akibat kecederaan, namun tetap berwaspada dengan lawan yang diperkuatkan dengan rata-rata muka baru.

"Insya-Allah, jika kami kekalkan permainan seperti ketika dalam separuh akhir berdepan PDRM, tiada masalah untuk kami meraih kejayaan tahun ini," katanya.

Dalam saingan final edisi lalu, Melaka gagal mengesahkan gelaran sulung apabila tewas dengan keputusan 2-0.

"Tahun ini, untuk menerapkan pemahaman dalam tempoh empat bulan memang sukar. Jadi, menggunakan pemain sedia ada, kami akan cuba ubah sedikit strategi berbanding cabaran tahun lalu," ujar pengendali Kedah, Zulkifli Jaafar.