REPUBLIK IRELAND 1 GEORGIA 0

James McClean menggesa setiap pemain yang tidak komited dengan pasukan kebangsaan Republik Ireland agar "berambus dan pergi bermain di tempat lain" selepas Declan Rice lebih memilih untuk mewakili England.


Bintang West Ham, Rice -- yang mempunyai dua kerakyatan -- melakukan penampilan pertamanya dengan skuad kebangsaan England ketika mereka menewaskan Montenegro 5-1, semalam.

Pemain itu memilih untuk mewakili pasukan kendalian Gareth Sothgate tersebut selepas menyertai tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Ireland.

McClean, yang beraksi selama 90 minit ketika Ireland menewaskan Georgia 1-0 dalam aksi Kumpulan D, pusingan kelayakan Euro 2020 di Dublin awal pagi tadi, pernah berdepan situasi sama ketika memilih pasukan kebangsaan yang hendak diwakilinya, namun menegaskan negaranya itu lebih baik tanpa pemain yang hanya mahu menjadikannya sebagai batu loncatan.

"Rice katakan dia seorang Irish. Kemudian dia katakan yang dia seorang Inggeris. Jika dia adalah kedua-duanya, selamat maju jaya buatnya, namun saya tidak akan menerimanya," katanya kepada RTE Sport menjelang perlawanan dengan Georgia.

"Saya berasakan anda perlu memilih salah satu daripadanya.

"Saya bersama Derry City ketika mendapat panggilan untuk menyertai Ireland Utara, namun saya menolaknya kerana ia bukan negara saya.

"Ia tidak pernah menjadi negara saya kerana saya seorang Irish.

"Ia bukan hanya kepada Declan tetapi kepada sesiapa sahaja.

"Jika anda tidak berasa bangga untuk berada di sini dan hanya menggunakan negara ini sebagai batu loncatan, maka sila berambus dan bermain di tempat lain.

"Saya seorang Irish dan saya lahir di salah satu pulau di Ireland, ia semudah itu.

"Kami hanya mahukan pemain yang mahu mewakili Ireland, yang berasakan mereka seorang Irish dan berbangga dengan negaranya," katanya.

Kemenangan itu meletakkan Ireland di puncak Kumpulan D dengan Switzerland menghasilkan tiga gol pada lewat permainan bagi mengikat Denmark 3-3 dalam satu lagi perlawanan.