Kylian Mbappe berkata Paris Saint-Germain (PSG) tidak seharusnya berasa gentar selepas meraih kemenangan 2-0 di Manchester United untuk membawa bekalan selesa dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Mbappe menggandakan kedudukan PSG selepas Presnel Kimpembe memecah kebuntuan perlawanan untuk wakil Ligue 1 itu menguasai aksi di Old Trafford, awal pagi tadi, sambil bekas pemain sayap United, Angel Di Maria, mencipta kedua-dua bantuan gol tersebut.

Ia kekalahan pertama United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang juga merupakan kekalahan terburuk mereka dalam kempen Eropah di tempat sendiri sementara kad merah yang dikutip Paul Pogba menambah derita mereka menjelang aksi timbal balik di Paris bulan depan.

PSG disingkirkan Real Madrid 5-2 secara agregat dalam pusingan 16 musim lalu dan pada musim 2016-17, mereka di ambang kejayaan sebelum kebangkitan luar biasa Barcelona memadamkan defisit 0-4 dalam pertemuan pertama untuk meneruskan kemaraaan.

Meskipun PSG sering gagal dalam pusingan kalah mati pertandingan itu, Mbappe menggesa pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu -- yang beraksi tanpa Edinson Cavani dan Neymar akibat kecederaan -- supaya menjadi berani.

"Tuchel memberitahu saya bahawa ia akan menjadi perlawanan yang berbeza, saya akan menyentuh bola dengan lebih banyak," kata Mbappe kepada RMC Sport.

"Ia sesuatu yang sukar kerana saya belajar peranan ini sebagai penyerang utama tetapi saya tidak kecewa.

"Kami harus berhenti daripada berasa gentar, bola sepak dimainkan di atas padang. Neymar dan Cavani merupakan pemain yang sangat penting tetapi orang ramai perlu memberikan kami sokongan.

"Bola sepak Perancis perlu mara sejauh mungkin dalam UCL. Orang ramai perlu menyokong kami, giliran kami pula yang akan menyokong Lyon (menentang Barca) minggu depan," katanya.

Hanya kebangkitan hebat yang mampu menyaksikan United menyingkirkan PSG, sebaliknya Mbappe tidak akan menganggap kemaraan ke peringkat suku akhir sudah terjamin.

"Ia bukan keputusan yang sempurna tetapi ia sesuatu yang bagus. Ia akan menjadi sempurna sebaik sahaja kami layak," katanya. "Kami gembira tetapi kami masih dalam separuh perjuangan.

"Kami akan terus membuat persiapan rapi kerana kami berdepan cabaran fizikal yang kecil dalam tempoh 20 minit terakhir.

"Ia adalah sistem permainan yang benar-benar baru bagi kami, kami belum terbiasa dengannya. Kami memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

"Kami kembali dengan pendekatan yang lebih baik dalam babak kedua. Kami tahu mereka mahu menjaringkan gol dan kami melakukannya," katanya lagi.