Persembahan cemerlang penyerang Perancis, Kylian Mbappe, ketika bertemu Argentina membuatkan Diego Maradona membandingkannya dengan Claudio Caniggia ketika muda.

Mbappe menampilkan prestasi terbaik sewaktu Perancis ketinggalan untuk membolehkan Les Bleus menewaskan Argentina 4-3 dalam pusingan kedua Piala Dunia, sekali gus muncul sebagai pemain muda pertama yang mencatat lebih daripada satu jaringan dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak Pele pada tahun 1958.

Penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu melakukan larian deras yang memaksa Marcos Rojo menjatuhkannya sehingga menghadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Antoine Griezmann sebelum dua jaringannya memberikan kemenangan buat Perancis di Kazan.

Situasi itu membuatkan Maradona melihat kelibat Caniggia, salah seorang pemain Argentina yang bergelar naib juara Piala Dunia 1990 sebelum menjulang trofi Copa America setahun kemudian, dalam diri Mbappe.

“Argentina melakukan asakan terhadap kubu Perancis sehingga akhirnya memberikan banyak ruang buat Mbappe, pemain yang sama seperti Caniggia ketika muda,” ujar Maradona.

“Rojo melepaskannya masuk ke dalam kotak penalti sebelum menjatuhkannya. Ia bukan sesuatu yang patut dilakukan oleh pemain kebangsaan.

“Dia perlu menuju tepat ke bahagian badan dan menjatuhkannya sebelum Mbappe melarikan bola ke depan.”

Maradona turut berpendapat bahawa barisan depan Argentina bergelut untuk menyerang apabila Lionel Messi diletakkan selaku pemain nombor 9 palsu sambil Angel Di Maria dan Cristian Pavon beraksi di bahagian sayap.

“Kami tidak tahu bagaimana untuk melakukan serangan, tidak tahu apa perlu dilakukan apabila memegang bola. Perancis berbeza. Mereka menerapkan serangan balas, mempunyai variasi dan pilihan di kiri dan kanan.

“Saya lihat Messi begitu penat berada jauh dari kotak penalti. Bagi saya, jika dia bermain sebagai pemain nombor 9 palsu, dia perlu pergi mendapatkan bola, membuka ruang dan menjaringkan gol.

“Kami lebih banyak bercakap tentang Patoruzu (watak komik Argentina yang memiliki kuasa fizikal) berbanding Messi),” tambahnya.