Kylian Mbappe menolak peluang untuk menyertai Real Madrid, sebaliknya kekal dalam Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain (PSG), kata Naib Presiden AS Monaco, Vadim Vasilyev.

Mbappe menyertai PSG dari AS Monaco dengan pinjaman semusim susulan aksi menakjubkan dalam laluan mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara dalam kempen 2017.

Penyerang Perancis itu bersedia untuk melengkapkan perpindahan tetap ke PSG bernilai €180 juta (RM835.2j) pada musim depan, begitupun Mbappe juga mempunyai peluang lain.

Bekas jurulatih PSG, Unai Emery, mendedahkan pada awal bulan ini bahawa Mbappe mahu pergi ke Madrid atau Barcelona berbanding kekal di Perancis.

Bagaimanapun, Vasilyev menjelaskan situasi sebenarnya bukan begitu. Malah, tawaran Madrid sudah diterima dan pemain itu sendiri yang memilih PSG.

"Saya masih ingat ketika menerima panggilan daripada Real Madrid apabila menerima tawaran bernilai €180j ke atas Mbappe," kata Vasilyev kepada Canal.

"Kemudian, saya memandangnya lalu memberitahunya, 'kami sudah menerima tawaran yang mustahil untuk ditolak daripada kelab impian anda, jadi beritahu saya jawapan anda'. Kami tidak pernah mahu membuat pilihan untuknya, terpulang kepadanya.

"Dia memberitahu saya bahawa dia mahu pergi ke Paris dan selepas itu, terdapat banyak butiran yang perlu diselesaikan sehingga pada akhir-akhir ini, saya meragui perjanjian itu."

Mbappe dilaporkan turut menjadi sasaran Manchester City meskipun dijangka akan meneruskan perpindahan tetapnya ke PSG.