Eden Hazard menganggap Kylian Mbappe dan Paul Pogba sebagai antara pemain terbaik dunia ketika kedua-dua pemain itu kekal dikaitkan dengan Real Madrid.

Hazard diperkenalkan di Madrid awal pagi tadi selepas berhijrah daripada Chelsea dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai melebihi £130 juta (RM686.8 juta).

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, dan pemain tengah Manchester United, Pogba, turut dikaitkan untuk menyertai Madrid di mana ketua jurulatih, Zinedine Zidane, sedang melakukan rombakan besar.

Ketika Hazard tidak berminat untuk bercakap mengenai pasaran perpindahan pemain, penyerang itu berkata kedua-dua pemain berkenaan merupakan antara yang terbaik di dunia.

"Saya bukan berada di sini untuk bercakap mengenai perpindahan. Saya berada di sini untuk beraksi dengan yang terbaik," katanya dalam sidang media.

"Terdapat beberapa pemain baru di sini dan kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Benar kami mahu beraksi dengan yang terbaik dan kedua-dua pemain yang anda katakan itu adalah yang terbaik, namun bukan saya yang akan membuat keputusan itu," katanya.

Setakat ini, Madrid telah menandatangani Hazard, Luka Jovic, Eder Militao, Ferland Mendy dan Rodrygo Goes bagi menghadapi musim 2019-2020.