Kylian Mbappe berkata dia tidak dapat mengikuti apa yang telah dicapai Lionel Messi di Barcelona dan mahu menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai inspirasi.

Sejak menyerlahkan diri bersama Monaco pada 2016, pepindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) dan kejayaan bersama Perancis dalam Piala Dunia 2018 telah menjadikan pemain berusia 21 tahun itu sebagai salah seorang pemain muda terbaik di dunia.

Bagaimanapun, apabila diminta memilih di antara Messi dan Ronaldo untuk dijadikan contoh buat perjalanan kariernya, Mbappe sedar perpindahannya daripada Monaco kepada PSG bermakna dia sudah tidak dapat mengikuti jejak pemenang Ballon d'Or enam kali, Messi.

"Sudah terlewat untuk saya mengukir perjalanan karier seperti Messi, saya sepatutnya kekal di Monaco," katanya kepada La Gazzetta dello Sport.

"Tanpa menafikan apa-apa mengenai Messi, saya kini perlu menjadikan karier Cristiano sebagai inspirasi.

"Jika anda seorang warga Perancis, sudah pasti anda membesar dengan menjadikan (Zinedine) Zidane sebagai idola.

"Selepas itu, ia adalah Cristiano, yang saya amat bertuah untuk berlawan menentangnya di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan.

"Saya juga meminati pemain Brazil seperti Pele, Ronaldinho, Ronaldo and Kaka.

"Dan buat pemain muda yang sedang mengikuti saya, saya mahu menyampaikan pesanan sebagai seorang yang percaya kepada impiannya, sentiasa memberikan yang terbaik semampunya, sentiasa mencuba untuk mencabar keupayaan supaya dapat dikenang dalam sukan ini," katanya.

Mbappe juga percaya Ronaldo telah memberikan keyakinan buat Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah, kejohanan yang pernah dimenangi kapten Portugal itu sebanyak lima kali, dan menjadikan kelab gergasi Serie A itu sebagai pasukan pilihan musim ini.

"Juventus pasukan yang kuat, mereka telah membuktikannya dalam final beberapa musim lalu," tambah Mbappe, yang menjaringkan 21 gol buat PSG dalam kesemua kejohanan musim ini.

"Mereka kekurangan sesuatu yang memberikan mereka keyakinan dan kini mereka memiliki Cristiano.

"Tahun ini Juventus merupakan pasukan pilihan di samping Real Madrid, Barcelona dan Liverpool," katanya.



Editor: Muzaffar Musa