Bintang Perancis, Kylian Mbappe, beraksi dalam dua perlawanan terakhir Piala Dunia sambil menahan kesakitan daripada kecederaan tulang belakang.

Penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat menyerlah sepanjang empat minggu di Russia apabila menghasilkan persembahan memukau buat anak-anak buah Didier Deschamps itu di samping menyumbat empat gol.

Cabarannya harus berakhir lebih awal selepas ditimpa masalah sebelum Perancis mengatasi Belgium 1-0 dalam separuh akhir Piala Dunia di St Petersburg.

Dia sekali lagi menahan kesakitan ketika final bertemu Croatia tetapi perkara itu sengaja dirahsiakan bagi mengelakkan pemain berusia 19 tahun itu menjadi sasaran.

"Perkara terpenting ialah untuk tidak menarik perhatian lawan kerana mereka mungkin mengambil kesempatan untuk mengasak saya di kawasan sensitif," katanya kepada France Football.

"Sebab itu barisan pemain kami serta staf tidak dimaklumkan, termasuk ketika final," katanya.

Mbappe menjaringkan salah satu gol ketika membenam cabaran Croatia 4-3 dalam final, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pemain muda terbaik dalam kejohanan.

"Anda harus jujur. Agak lama saya membuat keputusan untuk memperkembangkan idea.

"Sejak dari awal, saya yakin kami mampu melakukannya sehingga saat akhir.

"Ketika kejohanan belum bermula, terdapat sesetengah orang yang menganggap keyakinan kami sebagai satu perkara yang angkuh walaupun kami hanya cuba bersikap optimis.

"Saya telah menetapkan diri saya untuk menang."