Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, meninggalkan padang menggunakan pengusung selepas berlanggar dengan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes, dalam aksi Ligue 1 di Parc Olympique Lyonnais, awal pagi tadi.

Kejadian tersebut berlaku ketika pemain antarabangsa Perancis itu berusaha untuk melakukan sentuhan daripada hantaran Marco Verratti dalam separuh masa pertama tetapi Lopes berjaya mendapatkan bola sebelum kedua-dua pemain bertembung.

Mbappe, yang sebelum itu sudah memerlukan rawatan untuk kecederaan kepala, terpaksa digantikan dengan Julian Draxler.

PSG ketinggalan 0-1 selepas Nabil Fekir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit kedua perlawanan, dengan Lyon berusaha mengurangkan jurang 11 mata di belakang pendahulu liga itu.

Layvin Kurzawa kemudian menyamakan kedudukan menuju ke bilik persalinan, bagaimanapun Memphis Depay menghadiahkan kemenagan 2-1 buat Lyon hasil jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.

Skuad Unai Emery itu beraksi tanpa pemain antarabangsa Brazil, Neymar, akibat kecederaan paha.