Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, memberi bayangan bakal meninggalkan gergasi Perancis itu semalam.

Mbappe telah dikaitkan dengan penghijrahan menyertai gergasi LaLiga, Real Madrid, walaupun pemain berusia 20 tahun itu memberi jaminan kepada penyokong bahawa dia akan kekal di Paris.

Bagaimanapun, Mbappe menimbulkan keraguan mengenai masa depannya selepas ditabal sebagai Pemain Terbaik Ligue 1 dan Pemain Muda Terbaik.

"Ini merupakan satu-satunya gelaran yang belum saya raih di Perancis. Saya sangat gembira," kata Mbappe.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya mencapai ke tahap ini.

"Terdapat beberapa kekecewaan tetapi ia adalah sebahagian daripada bola sepak. Ini merupakan saat yang penting bagi saya.

"Saya sudah tiba ke tahap kedua dalam karier saya. Saya telah meraih banyak kejuaraan di sini. Sudah tiba masa untuk saya meneroka cabaran baru."

Mbappe telah menjuarai Ligue 1 dua tahun berturut-turut sejak tiba dari Monaco, dengan pemenang Piala Dunia itu meledak dua gol ketika membantu PSG mengatasi Dijon 4-0 untuk menjadi pemain Perancis pertama meledak 32 gol dalam saingan Ligue 1 sejak Philippe Gondet pada 1965-66 ketika bersama Nantes.

Secara keseluruhan, Mbappe menjaringkan 38 gol dalam kesemua kejohanan buat PSG -- yang disingkirkan Manchester United dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).