Mayat pemain tengah Young Boys dan Switzerland, Florijana Ismaili, ditemui selepas hilang selama tiga hari di Tasik Como.

Florijana tidak timbul-timbul selepas terjun daripada sebuah bot di Tasik Como, Ahad lalu.

Yong Boys menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi mengesahkan mayat pemain berusia 24 tahun itu telah ditemui penerjun berhampiran kawasan kehilangannya.

"Yong Boys, selepas berunding dengan keluarga mangsa, menjalankan tugas yang amat berat untuk memaklumkan tentang kematian Florijana Ismaili.

"Kami amat sedih dan terkesan.

"Young Boys menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan Florijana Ismaili dan mendoakan kekuatan dan keyakinan buat semua yang menghadapi waktu sukar ini.

"Kami akan sentiasa mengenang Florijana dalam ingatan kami," kata kenyataan berkenaan.

Florijana mengetuai Young Boys selepas menyertai pasukan itu pada 2011.

Dia melakukan penampilan antarabangsa pertamanya bersama Switzerland pada 2014 dan pernah mewakili pasukan kebangsaan itu sebanyak 33 kali.

"Ini adalah detik yang sangat menyedihkan bagi semua komuniti bola sepak, terutama ketika kami sedang berkumpul dalam Piala Dunia Wanita," kata Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, dalam satu kenyataan.

"Bagi pihak diri saya dan FIFA, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat Florijana, juga buat Persekutuan Switzerland dan BSC Young Boys."