Blaise Matuidi menegaskan dia tidak bercadang untuk meninggalkan Juventus dalam jendela perpindahan sebelum bermula musim 2019-2020.

Pemain kebangsaan Perancis itu berada dalam tempoh 12 bulan terakhir kontraknya dan telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Juve.

Bagaimanapun, bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu telah memulakan perbincangan dengan juara Itali itu untuk melanjutkan kontraknya selepas tampil beraksi dalam keempat-empat perlawanan bagi musim ini, termasuk seri 2-2 dengan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

"Anda semua yakin bahawa saya akan berhijrah musim panas ini tetapi ia tiada dalam fikiran saya," katanya kepada Tuttomercatoweb.

"Saya berusaha dalam sesi latihan setiap hari untuk pasukan ini dan hanya memikirkan apa yang berlaku di atas padang. Juve adalah pasukan berkualiti dan mereka memberikan keyakinan kepada saya."

Matuidi meledak gol kedua selepas Juan Cuadrado membuka jaringan untuk membantu Atletico mendahului 2-0 sebelum kelab Sepanyol itu bangkit menyamakan kedudukan untuk berkongsi satu mata.

Kedua-dua jaringan Atleti itu hadir menerusi situasi bola matI dan Matuidi mengakui pasukannya perlu bertahan dengan lebih baik.

"Kami mengharungi perlawanan yang baik ketika berdepan Atletico, menghasilkan banyak peluang," katanya.

"Kami hanya dibolosi menerusi situasi bola mati dan pasukan berusaha sebaik mungkin untuk mengelak perkara ini berulang."

Juventus kembali dalam saingan Serie A berdepan Verona di Stadium Allianz malam ini.