Bekas kapten, Lothar Matthaus, beranggapan Marc-Andre ter Stegen seharusnya berhak meraih tempat dalam kesebelasan utama berbanding Manuel Neuer.

Penjaga gol Bayern Munich, Neuer, bergelut untuk mendapatkan sentuhan terbaiknya sejak kembali beraksi pada penghujung musim lalu selepas berehat panjang kerana mengalami kecederaan kaki.

Pemain berusia 32 tahun itu gagal mengawal gawang ketika Jerman tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia dan yang terbaru, tewas 3-0 kepada Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, Sabtu lalu.

Ter Stegen hanya tampil dalam kesebelasan utama dua kali tahun ini -- aksi persahatan berdepan Sepanyol pada Mac dan Peru bulan lalu -- tetapi Matthaus berasakan penjaga gol Barcelona itu berhak mendapat tempat dalam skuad utama Joachim Low.

"Neuer tidak berada di tahap terbaik kerana mengalami kecederaan yang serius musim lalu," katanya.

"Dia masih belum kembali menemui sentuhan terbaik.

"(Ter Stegen) menampilkan aksi cemerlang bersama Barca sejak beberapa tahun yang lalu. Saya berasakan sudah tiba masa untuk memberikan peluang kepadanya tampil dalam perlawanan-perlawanan penting," tambahnya.

Jerman sekali lagi akan berdepan Perancis dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi esok.