Cristiano Ronaldo memberitahu James Rodriguez supaya menyertai Juventus, dedah Lothar Matthaus.

James -- yang sedang mengharungi kempen Copa America bersama Colombia -- bakal meninggalkan Real Madrid musim depan.

Pengatur serangan itu menghabiskan dua kempen terakhirnya dengan dipinjamkan ke juara Bundesliga, Bayern Munich, namun memilih untuk tidak melanjutkan perjanjiannya di Jerman.

Justeru, Matthaus, percaya pemain berusia 27 tahun itu akan berpindah ke Serie A untuk kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukan di Madrid, Ronaldo, yang memintanya untuk ke Juve.

"Saya menjangka dia akan beraksi di Juventus," Matthaus memberitahu penerbitan Sepanyol, AS.

"Kami berbual ketika meraikan kejayaan Bayern meraih Bundesliga, dua minggu lalu.

"Dia sangat rapat dengan Ronaldo dan memberitahu saya bahawa mereka saling berhubung. Ronaldo telah memintanya untuk menyertai Juventus.

"Ini kerana James boleh mencipta peluang untuk Ronaldo mencetak gol dan gandingan mereka mampu menyinar."

James menyertai Madrid pada 2014 selepas membintangi Colombia dan memenangi Kasut Emas dalam Piala Dunia 2014 di Brazil.

Juve bukan satu-satunya kelab Itali yang dikhabarkan berminat dengan bekas pemain Monaco berkenaan berikutan pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, yang mengemudi Los Blancos sejurus James tiba di Santiago Bernabeu, turut mengintai khidmatnya.

Maurizio Sarri hampir pasti dilantik sebagai pengurus Juve untuk menggantikan Massimiliano Allegri yang dilepaskan akhir musim lalu setelah Chelsea dilaporkan bersetuju dengan pakej pampasan yang diterima.