Masih terlalu awal bercakap soal peluang ke final -- Pochettino

Oleh Staff Writer 18 September 2019
Masih terlalu awal bercakap soal peluang ke final -- Pochettino
Mauricio Pochettino enggan memikirkan kemaraan ke satu lagi perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) sebelum pertemuan Kumpulan B di antara Tottenham dengan Olympiacos, awal pagi esok. 

Spurs mara ke final di Madrid musim lalu selepas kemenangan dramatik ke atas Ajax dalam separuh akhir sebelum tersungkur 0-2 kepada seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Kempen 2019-20 mereka bakal bermula di Athens dengan menentang juara Liga Super Greece musim lalu itu, justeru Pochettino berpendapat adalah terlalu awal untuk bercakap mengenai penampilan di pentas akhir buat kali kedua berturut-turut.

"Masih terlalu awal untuk mula bercakap tentang perlawanan akhir," katanya dalam sidang media. "Perkara yang paling penting ketika ini ialah membincangkan tentang kualiti skuad kami.

"Saya tidak peduli sama ada orang memikirkan bahawa kami sekali lagi akan menjadi pencabar untuk layak ke perlawanan akhir. Kami memberi tumpuan kepada usaha untuk menang (menentang Olympiacos) dan bermula dengan cara yang baik.

"Sudah tentu, ia adalah satu tempoh yang panjang selepas perlawanan akhir di Madrid yang lalu dan secara jujurnya, ​​saya banyak memikirkannya pada musim panas lalu.

"Anda tidak boleh melupakan bagaimana perasaannya tewas dalam perlawanan akhir. Anda perlu menunggu untuk memulakannya sekali lagi. Bagi kami, ini adalah satu lagi cabaran besar."

Musim lalu, kelab London itu memulakan kempen Eropah dengan lembab apabila hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, mereka bangkit dengan bergaya apabila memenangi tujuh mata daripada tiga perlawanan seterusnya untuk maju ke peringkat kalah mati.

Sementara itu, pengurus berbangsa Argentina berkenaan menuntut tiga mata daripada anak buahnya sambil mengakui mereka akan melakukan permulaan yang kurang baik sekiranya berhasrat ke Istabul, akhir musim ini. 

"Saya mahu mengelak daripada mengharungi hal yang sama seperti musim lalu tetapi tetap mahu beraksi di Istanbul kelak," katanya. "Kami sedar perlu memulakan kempen dengan kemenangan tetapi kami perlu menunjukkan kualiti. Kami perlu menunjukkan bahawa kami telah belajar dari masa lalu."

Danny Rose dan Serge Aurier akan direhatkan untuk pertembungan di Greece itu sementara Juan Foyth, Ryan Sessegnon dan Giovani Lo Celso kekal diketepikan akibat kecederaan.



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen