Pengendali skuad negara, P. Maniam, menegaskan anak buahnya tidak mendabik dada meskipun memenangi Kejohanan AFF B-15 kerana menyedari saingan kelayakan Kejohanan AFC B-16 bakal menjanjikan cabaran yang lebih getir.

Skuad remaja negara mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan itu, termasuk bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali, Thailand, 2-1 di pentas final tetapi Maniam mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki sebelum kelayakan Kejohanan AFC B-16 di Laos nanti.

"Sudah tentu kami sudah memenangi dua kejuaraan tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum saingan kelayakan," katanya.

"Saya rasa kalau mereka bermain lebih teratur dan mengikut taktikal, barisan pemain ini lebih berpeluang untuk bermain dengan lebih baik berbanding sebelum ini."

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan tuan rumah, Laos, bagi kempen kelayakan yang bakal berlangsung dari 18 hingga 22 September depan.

Walaupun berada dalam satu kumpulan dengan pasukan pilihan seperti Jepun, penyerang kebangsaan, Mohammad Khairil Mohd Zain, yakin mampu memberi cabaran dan melakar kejutan.

"Kami percaya pasukan ini ada pemain yang bagus. Kami sentiasa percaya antara satu sama lain dan insya-Allah, kami boleh 'makan' Jepun. Kami akan patahkan taktikal mereka," katanya.