Walaupun menang 3-1 ke atas DPMM Brunei dalam aksi persahabatan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin, pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui masih banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya.

Katanya, dengan hanya kira-kira seminggu sebelum saingan Liga Perdana bersambung, pasukannya perlu menggandakan usaha, seterusnya bersiap sedia sepenuhnya, terutama dalam menghadapi dua perlawanan yang dianggap sangat penting minggu depan.

"Kami akan bertemu pasukan di tangga ketiga liga, UiTM FC, seterusnya Felda United yang kini berada di takhta liga. Dua aksi ini saya anggap sangat penting dalam menentukan kedudukan kami selepas ini.

"Saya akui tempoh rehat yang panjang telah menjejaskan sedikit momentum kami, namun kami masih ada masa seminggu untuk mengatasi segala kelemahan yang ada, seterusnya bersiap sedia sepenuhnya untuk menyambung saingan liga," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sabah yang kini berada di kedudukan kedua liga akan bertemu UiTM FC di Stadium Likas, Selasa depan, dengan perlawanan itu bakal menentukan kedudukan dua pasukan berkenaan kerana mereka kini berkongsi mata yang sama dan hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kemudian akan bertemu Felda United yang kini enam mata di hadapan mereka dengan perlawanan juga bakal berlangsung di Likas.

Terdahulu, dalam aksi bertemu DPMM Brunei di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin, pemain simpanan, Justin Samaan, muncul wira Sang Badak apabila meledak dua gol selain jaringan penyerang import, Hector Omar Ramos, bagi mengesahkan kemenangan milik mereka.

"Walaupun kami bermula hambar pada awal permainan, saya memuji kesungguhan pemain yang berjaya menukar rentak permainan menjadi lebih meyakinkan pada pertengahan babak pertama dan akhirnya kami menang perlawanan itu.

"Kami juga melihat beberapa perkara positif menerusi aksi persahabatan itu, termasuk persembahan yang dipamerkan pemain-pemain simpanan kami. Ini membuktikan mereka sudah bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan," katanya.