Penjaga gawang Barcelona, Marc-Andre ter Stegen, dalam keraguan untuk membuat penampilan dalam perlawanan akhir Copa del Rey selepas mengalami kecederaan lutut.

Ter Stegen memainkan peranan utama dalam misi Barca mempertahankan gelaran LaLiga dengan membuat 35 penampilan selain mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Pengurus, Ernesto Valverde, merehatkan penjaga gol kelahiran Jerman itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk menjelang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) yang lalu dan penentuan kejuaraan Copa dengan Valencia, 26 Mei ini, apabila memberi ruang kepada Jasper Cillessen ketika bertemu Celta Vigo dan Getafe.

Bagaimanapun, Ter Stegen masih bergelut dengan kecederaan sambil Barca mendedahkan pemain berusia 27 tahun itu mengadu masih berasa tidak selesa di lutut kanannya.

Barca, bagaimanapun, tidak menawarkan butiran lanjut mengenai tahap kecederaan berkenaan, tetapi Ter Stegen dijangka terlepas kunjungan ke Eibar, Ahad ini, dan masih samar untuk berdepan Valencia, sembilan hari kemudian.