Kapten Harimau Malaya, Farizal Marlias, kecewa dengan kekalahan 0-1 Malaysia di tangan Vietnam dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam.

Penjaga gol berpengalaman itu memiliki impian untuk menyaksikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih satu mata, namun ia gagal dicapai selepas gol tunggal Nguyen Quang Hai pada minit ke-39 menjadi perbezaan dalam perlawanan itu.

Mengulas mengenai jaringan tersebut, dia mengakui masalah komunikasi di antara dia dan pertahanan, Shahrul Saad, telah menghukum pasukan negara.

“Keputusan ini agak mengecewakan kerana kami tidak dapat bawa pulang mata, sekurang-kurangnya satu mata. Kami perlu perbaiki daripada segi teknikal dan saya harapkan kami semua lebih bersedia dan juga sedar dengan kelemahan yang ada.

“Pasukan sudah lakukan yang terbaik tetapi mungkin kerana sedikit kelekaan, kami dihukum. Mungkin kegagalan komunikasi di antara saya dan ‘Badak’ (Shahrul), kami dibolosi. Saya terima kekalahan ini dan akan belajar daripada kesilapan itu,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas perlawanan itu.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan mengumpul tiga mata sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengungguli saingan kumpulan dengan enam mata selepas membelasah Indonesia 5-0 dalam aksi kedua mereka semalam.

Thailand dan Vietnam masing-masing berkongsi empat mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas mengharungi dua perlawanan.

Dalam masa sama, penjaga gol Johor Darul Ta'azim (JDT) itu tetap optimis peluang Malaysia untuk merebut slot ke pusingan ketiga sekali gus mengesahkan tempat dalam pusingan akhir Piala Asia 2023 masih terbuka dengan baki lima perlawanan perlu ditempuh pasukan negara.

“Baki perlawanan akan datang, kami harus cuba mengutip mata penuh untuk mencerahkan peluang pasukan dan kami perlu memberikan segalanya untuk capai matlamat itu,” katanya.

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan dengan melayani kunjungan Thailand pada 14 November depan dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

-- BERNAMA