Pemain tengah Laos, Phithack Kongmathilath, menyifatkan konflik dalaman yang melanda pasukannya sebagai punca kegagalan mereka untuk menyaingi Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Suzuki AFF di Bukit Jalil, semalam.

Kem Laos mencetus sensasi apabila beberapa pemain utama dikatakan meninggalkan pasukan selepas kekalahan 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama.

Antaranya adalah kapten, Tothilath Sibounhuang, yang difahamkan kerana rasa tidak puas hati dengan pendekatan jurulatih baru, V. Sundramoorthy.

Ketiadaan pemain terbabit jelas memberi impak besar kepada Laos apabila tewas 1-3 kepada Malaysia untuk meraih kekalahan kedua berturut-turut dalam kejohanan.

"Kami amat terasa ketiadaan mereka kerana semua pemain merupakan tonggak utama pasukan dan sudah pasti ia memberi kesan kepada persembahan kami semalam,” katanya.

Kongmathilath memberi harapan buat Laos untuk membuat kejutan ke atas Malaysia apabila meledak gol pendahuluan menerusi sepakan percuma cantik seawal minit ketujuh.

Namun, mereka gagal mempertahankan kelebihan itu sehingga menyaksikan lawan bangkit menyumbat tiga gol dengan jaringan kedua Malaysia diakui sebagai titik tolak kekalahan Laos.

"Kami mampu bersaing dengan Malaysia tetapi kini misi bertambah sukar. Saya berharap kami dapat meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan," tambah seorang lagi pemain Laos, Aphone Vongchiengkham.