Peranan Niko Kovac di Bayern Munich tidak diragui setelah melalui musim cemerlang musim ini, kata pengerusi lembaga eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

Bekas pengendali Eintracht Frankfurt, Kovac, mula mengendalikan Bayern sejak awal musim lalu dan selepas permulaan perlahan, mereka mengetepikan Borussia Dortmund untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga pada hari terakhir.

Terdapat kekecewaan setelah tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di tangan Liverpool tetapi Bayern turut melangkah ke final Piala Jerman menentang RB Leipzig malam ini.

Walaupun wujud dakwaan bahawa Kovac kini dilanda tekanan di Allianz Arena, Rummenigge yakin tiada perubahan akan dilakukan berdasarkan aksi malam ini.

"Gila jika menentukan masa depan hanya berdasarkan satu perlawanan," kata Rummenigge.

"Kami tiada masalah antara satu sama lain. Tiada siapa mempersoalkan jika dia akan mengendalikan Bayern musim depan.

"Saya rasa jika anda bergelar pengurus di Bavaria dalam tahun pertama, ia adalah satu kejayaan. Kovac masih muda dan kurang pengalaman."

Dalam masa sama, Rummenigge sebelum ini mendakwa laporan Kovac bakal dipecat sebagai sesuatu yang mengarut.

Bercakap setelah mempertahankan trofi Bundesliga, Kovac memberitahu Sky bahawa dia yakin akan kekal selaku pengurus Bayern.