Martinez matikan spekulasi ke Real Madrid

Oleh Staff Writer 10 November 2018 762
 Martinez matikan spekulasi ke Real Madrid
Roberto Martinez segera menutup sebarang kemungkinan didekati Real Madrid untuk mengisi jawatan pengurus kelab itu, semalam. 

Jurulatih Belgium tersebut dilaporkan menjadi salah seorang calon utama untuk menggantikan Julen Lopetegui secara tetap berikutan pemecatannya pada akhir bulan lalu. 

Bagaimanapun, Martinez menegaskan satu-satunya kebimbangannya ketika ini adalah perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di antara Belgium dan Iceland serta Switzerland, minggu depan.

"Saya tidak mahu mengatakan sama ada saya atau ejen saya dihubungi Real Madrid," katanya dalam sidang akhbar.

"Itu tidak relevan dan tidak menghormati perlawanan menentang Switzerland dan Iceland. Itulah yang kami sedang lakukan sekarang."

Apabila ditekankan sama ada Madrid mungkin menjadi destinasi pilihannya pada masa depannya, Martinez menjawab: "Saya tidak mahu bercakap tentang apa-apa selain perlawanan dengan Switzerland dan Iceland.

"Saya sudah mengatakannya dalam dua bahasa. Apakah saya perlu menjelaskannya melalui bahasa badan atau menyanyikan lagu?

"Mesej saya akan tetap sama: satu-satunya perkara yang menjadi tumpuan saya ketika ini adalah pasukan Belgium."

Martinez sudah sekian lama diuar-uarkan sebagai salah seorang calon kegemaran untuk tugasan di Madrid itu selain bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte.

Bagaimanapun, spekulasi semakin hangat mengatakan pengurus sementara, Santiago Solari, mungkin ditawarkan peranan sepenuh masa selepas membimbing Los Galacticos melakar tiga kemenangan tanpa dibolosi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen