BELGIUM 3 SCOTLAND 0

Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, melaungkan penghargaannya terhadap Romelu Lukaku susulan dua gol yang dihasilkan pemain itu sewaktu menewaskan Scotland 3-0 di Brussels, awal pagi tadi.


Kemenangan itu memastikan Belgium mengekalkan rekod bersih dalam pusingan kelayakan Euro 2020 sambil menerajui Kumpulan I dengan kelebihan tiga mata di depan pencabar terdekat, Russia.

Lukaku membuka jaringan pada penghujung babak pertama selepas melakukan tandukan dari jarak enam ela sebelum menggandakannya dalam babak berikutnya dengan menolak masuk bola muntah susulan percubaan awal Kevin De Bruyne.

Kedua-dua gol itu melebarkan rekod jaringan penyerang itu kepada 25 gol daripada 21 penampilan terakhirnya buat Belgium.

Walaupun begitu, dia terlepas beberapa peluang terhidang dan mungkin mampu menjaringkan lebih daripada empat gol dalam perlawanan berkenaan.

Martinez berasakan penyokong telah menunjukkan penghargaan buat pemain itu, namun dia mahukan penyerang Manchester United berkenaan memanfaatkan kerja keras yang dilakukannya dengan lebih kerap.

"Saya menghargai rasa kasih daripada penyokong buat pasukan kebangsaan mereka, terutama buat Romelu.

"Dia seorang pemuda yang amat berjaya sepanjang tiga musim ini.

"Dia mencipta peluang dan banyak menghasilkan jaringan.

"Saya melihat dia amat berdisiplin dan ketika waktu rehat antarabangsa, dia menunjukkan keinginan yang tinggi.

"Adakalanya, saya berasa sedih apabila Romelu tidak memanfaatkan cara permainannya di atas padang," katanya.

De Bruyne merupakan pemain yang paling mencuri tumpuan dalam perlawanan itu, namun Martinez lebih memilih untuk memuji pasukannya secara keseluruhan.

"Ia bukan perlawanan tentang seorang pemain sahaja, setiap pemain menyumbang kepada kemenangan ini.

"Eden Hazard juga amat penting dan dia menggalas tanggungjawabnya dengan baik.

"Lukaku pula menemui jaringan sebanyak dua kali.

"Apabila saya melihat perkembangan yang dilalui Thorgan Hazard, dia belumpun berusia 23 tahun ketika saya mula mengambil alih pasukan dan bagaimana Thomas Meunier beraksi selama 90 minit ketika Timothy Castagne turut berpeluang beraksi, saya berasakan yang kami mempunyai banyak pilihan dan ia sesuatu yang baik.

"Jangan dilupakan juga kerja keras yang dilakukan tiga pemain tengah kami yang menafikan setiap gerakan Scotland," tambahnya.