Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, memberikan penghormatan buat Eden Hazard selepas penggempur Chelsea itu bakal meraih penampilan ke-100 di pentas antarabangsa.

Hazard, 28, memulakan karier antarabangsa 10 tahun lalu pada November 2009 apabila mencipta sensasi selaku pemain muda di Lille.

Dia kemudian menjadi tonggak utama Begium, membantu pasukan mara ke Euro 2016 dan menamatkan penantian 16 tahun serta melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2018, sekali gus mencatat pencapaian terbaik pasukannya dalam kejohanan tersebut.

Sekiranya dia beraksi dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 bertemu Cyprus awal pagi esok, Hazard akan meraih jumlah penampilan ke-100 dan Martinez memberi kenyataan mengenai dedikasi pemain itu.

"Jumlah 100 perlawanan adalah satu pencapaian hebat untuk seorang pemain berusia 28 tahun," kata Martinez.

"Ia membuktikan kehebatan Hazard selaku seorang individu serta pemain bola sepak. Ia boleh menjadi contoh kepada semua orang apabila bercakap soal dedikasi dan komitmen."

Hanya Axel Witsels (101 penampilan) dan Jan Vertonghen (111 penampilan) yang mewakili Belgium lebih banyak berbanding Hazard, namun penggempur Chelsea itu melihat bekas rakan sepasukan di Stamford Bridge, Thibaut Courtois, akan memintas semua.

"Saya tidak tetapkan sasaran," ujar Hazard.

"Saya sentiasa katakan mahu bermain selagi tubuh tidak memaksa saya untuk berhenti.

"Ia juga berkaitan dengan generasi baru. Jika saya lihat ada pemain yang boleh mengisi posisi saya, saya akan berikan peluang. Saya harap ia berlaku kerana itulah bola sepak. Pemain berusia akan berhenti apabila kelompok muda mula melakukan sesuatu.

"Apabila saya tiba, saya membuatkan ramai orang berusaha. Hari ini, saya masih muda dan saya fikir Courtois akan mencipta rekod baru, terutama jika dia bermain sehingga umur 38 tahun.

"Saya tidak tahu. Mungkin dia akan menjadi seperti Gianluigi Buffon, beraksi sehingga berusia 40 tahun. Saya akan cuba teruskan selagi Courtois ada."