BELGIUM 6 CYPRUS 1

Roberto Martinez percaya Belgium boleh menjuarai Euro 2020, namun menyedari ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya mereka tidak beraksi baik dalam pusingan akhir.


Pasukan itu menamatkan pusingan kelayakan dengan membelasah Cyprus 6-1 di Brussels awal pagi tadi.

Ia menyaksikan mereka merekodkan 10 kemenangan daripada 10 perlawanan untuk menjuarai Kumpulan I dan menjaringkan 40 gol sepanjang proses itu.

Ia memberikan Martinez keyakinan untuk membimbing Belgium meraih kejuaraan pertama di peringkat antarabangsa, namun dia sedar masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Sama ada kami mampu memenangi Kejohanan Eropah atau tidak, ia terletak di tangan kami," kata ketua jurulatih itu.

"Kami perlu menjadi lebih baik sebelum melihat sama ada kami boleh bersaing dalam kejohanan besar atau tidak.

"Kami sudah menetapkan standard dalam Piala Dunia (menamatkannya selaku pasukan ketiga terbaik) dan kami terus berkembang untuk menjadi pasukan yang amat kuat dengan kebersamaan.

"Dan penyokong kami juga penting.

"Kami memiliki tempoh tujuh bulan untuk meningkat dengan sebaik mungkin.

"Pasukan ini boleh menjuarai Kejohanan Eropah tetapi dalam bola sepak, ia tidak semudah itu," katanya.

Mengenai pusingan kelayakan itu, Martinez menambah: "Saya fikir setiap orang sudah melakukan yang terbaik sepanjang tahun ini.

"Pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan mereka melakukannya dengan fokus yang luar biasa.

"Menjaringkan enam gol dan meneruskannya dengan cara seperti ini merupakan sesuatu yang amat baik," katanya.

Kevin De Bruyne, yang menjaringkan dua gol dan menjadi nadi di bahagian tengah ketika menewaskan Cyprus, menambah: "Apabila anda memulakan pusingan kelayakan, anda perlu menghadapi satu demi satu perlawnan dan kami dapat melakukannya.

"Amat baik apabila dapat menamatkannya (dengan 10 kemenangan)," katanya.