Kenyataan Kylian Mbappe yang mengejutkan mengenai dia bakal meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) tidak diterangkan kepada rakan sepasukannya, kata Marquinhos yang keliru.

Penggempur Perancis, Mbappe, menarik perhatian ramai minggu lalu setelah memberi bayangan mahu mendapatkan projek baru tatkala wujud minat daripada Real Madrid.

Pengendali PSG, Thomas Tuchel, mendakwa dia tidak sedar mengenai kenyataan itu walaupun mengakui tiada jaminan terhadap masa depan bekas bintang Monaco itu atau pemain termahal dunia, Neymar.

Mbappe tampil dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol dalam aksi terakhir PSG musim ini, di mana anak buah Tuchel tewas 3-1 di Reims semalam tetapi Marquinhos mengakui dia tidak jelas mengenai keinginan penyerang itu.

"Saya tidak begitu faham mesej yang ingin disampaikan," kata Marquinhos.

"Saya rasa dia bercakap tentangnya bersama ketua kelab dan mungkin jurulatih. Dia tidak berkata apa-apa kepada kami.

"Anda perlu bertanya kepadanya apa maksud kenyataan yang dikeluarkan itu.

"Kami mempunyai beberapa pemain penting dan dia salah seorang daripadanya. Mbappe masih muda tetapi mempunyai minda yang kuat serta bertanggungjawab terhadap apa yang diucapkan serta apa yang dilakukan di atas padang."

Marquinhos, yang mengetuai PSG semasa ketiadaan Thiago Silva, menambah: "Kelab adalah perkara utama. Ia lebih penting berbanding pemain. Sama ada dia kekal atau pergi, kelab masih di sini."