Paris Saint-Germain (PSG) memeterai ikatan baru dengan pertahanannya, Marquinhos, dengan perjanjian selama empat setengah tahun.

Pemain kebangsaan Brazil itu akan bersama juara Perancis berkenaan sehingga 2024, lanjutan dua tahun daripada kontrak asalnya.

Marquinhos merupakan penolong kapten pasukan itu bersama pertahanan tengah, Thiago Silva.

Dia menyertai PSG pada 2013 dan membantu pasukan itu menjuarai lima gelaran Ligue 1 sepanjang tempoh itu.

Kelab itu mengesahkan lanjutan kontrak berkenaan awal pagi tadi dengan menggelarkannya sebagai "antara pemain paling berjaya dalam sejarah PSG".

Marquinhos berkata: "Paris dan PSG memenuhi segala keperluan saya untuk kekal di sini dan melanjutkan kontrak saya.

"Ia kelab yang bercita-cita besar dan masih mahu melakukan perkara hebat, mencipta sejarah dalam bola sepak.

"Kemudian mengenai bandar ini dan keluarga saya. Keluarga saya amat-amat gembira berada di sini.

"Saya berasakan seperti berada di rumah, saya ada segala-galanya yang diperlukan di sini dan disebabkan itu, saya segera memutuskannya.

"Ia merupakan musim ketujuh sejak saya menandatangani kontrak pertama.

"Saya mengimbas kembali mengenai apa yang saya dan PSG telah capai.

"Kami sudah melakukan perkara yang hebat.

"Saya fikir ia kelab yang amat-amat istimewa.

"Kami hanya perlu meneruskan kisah indah ini bersama-sama," katanya.



Editor: Muzaffar Musa