Marcerra United FC hampir disingkirkan daripada saingan Liga FAM musim ini sebelum pihak pengurusan kelab itu berjaya menyelesaikan wang deposit penyertaan kira-kira RM100,000 dan yuran penyertaan sebelum jam 5 petang, hari ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed.

Tindakan Marcerra jelas mengundang rasa kesal JKPT yang hampir menggugurkan penyertaan mereka daripada Liga FAM musim ini.

Walaupun berjaya menyerahkan cek kurang satu jam sebelum masa ditetapkan, aksi mereka bertemu Young Fighters FC pada Ahad ini ditunda ke satu masa ditetapkan bagi memastikan wang daripada cek itu dapat ditunaikan.

"Sehingga sekarang, kami belum lagi menerima duit daripada Marcerra yang sepatutnya diberi dua minggu sebelum sepak mula.

"Jadi, mengikut peraturan, kami berhak menggugurkan Marcerra daripada bermain dalam Liga FAM. Kami juga terpaksa membatalkan jadual pertama Ahad ini dan membawa kes Marcerra kepada Jawatankuasa Disiplin," kata Firdaus.

Enggan insiden sama berulang kembali, Firdaus mengharapkan semua persatuan bola sepak negeri yang mahu menerima mana-mana kelab sebagai ahli gabungan perlu meneliti kemampuan kewangan mereka.

"Liga kita ini ada peraturan. Maknanya, kami perlu buat penilaian dan memberi tempoh untuk mereka menjelaskan deposit dan yuran pendaftaran.

"Seminggu selepas sesi penilaian, kami harus pastikan mereka membayar bagi membuat surat tawaran penyertaan. Insya-Allah, kami akan melakukannya selepas ini," katanya lagi.