Gandingan Real Madrid, Marcelo dan Vinicius Junior, diketepikan daripada skuad Brazil untuk menghadapi Copa America bulan depan.

Pengurus, Tite, mendedahkan senarai 23 pemain semalam, dengan pertahanan berpengalaman, Marcelo, salah seorang kapten Brazil dalam saingan Piala Dunia, tidak tersenarai.

Marcelo yang mengharungi musim sukar bersama Real, diketepikan Santiago Solari dan gagal mendapatkan sentuhan terbaik selepas Zinedine Zidane kembali membimbing pasukan.

Brazil memiliki beberapa pilihan untuk menghadapi saingan, dengan pemain Juventus, Alex Sandro, dan Filipe Luis (Atletico Madrid), manakala pemain Porto, Alex Telles, tidak tersenarai.

Rakan sepasukan Marcelo, Vinicius Junior, yang diberikan penampilan pertama dalam aksi persahabatan berdepan Panama dan Republik Czech, Mac lalu, diketepikan ekoran kecederaan dan digantikan dengan pemain sayap Ajax, David Neres.

Neres bakal menyertai Richarlison, Gabriel Jesus, Roberto Firmino, Everton dan Neymar, yang terlepas daripada skuad Tite sebelum ini kerana mengalami kecederaan buku lali.

Fernandinho, yang tidak membuat penampilan dalam saingan antarabangsa sejak Piala Dunia 2018, dipanggil semula manakala Dani Alves turut tersenarai.

Brazil bakal memulakan saingan Copa America berdepan Bolivia 14 Jun ini sebelum berdepan Venezuela dan Peru dalam saingan Kumpulan A.

Skuad penuh Brazil:

Alisson (Liverpool), Cassio (Corinthians), Ederson (Manchester City); Alex Sandro (Juventus), Dani Alves (Paris Saint-Germain), Eder Militao (Porto), Fagner (Corinthians), Filipe Luis (Atletico Madrid), Marquinhos (Paris Saint-Germain), Miranda (Inter), Thiago Silva (Paris Saint-Germain); Allan (Napoli), Arthur (Barcelona), Casemiro (Real Madrid), Philippe Coutinho (Barcelona), Fernandinho (Manchester City), Lucas Paqueta (AC Milan); David Neres (Ajax), Everton (Gremio), Roberto Firmino (Liverpool), Gabriel Jesus (Manchester City), Neymar (Paris Saint-Germain), Richarlison (Everton).