Pertahanan Real Madrid, Marcelo, masih berasa seperti di kampung halaman sendiri di kelab itu dan kelihatan sudah bertekad untuk kekal sungguhpun khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan.

Ia merupakan musim yang sukar buat Madrid sehingga terpaksa melalui proses tiga pelantikan jurulatih dan kelihatan mungkin perlu berpuas hati dengan pencapaian di tangga ketiga LaLiga meskipun meraih kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao.

Marcelo juga menderita secara individu apabila kerap dipinggirkan oleh pengurus terdahulu, Santiago Solari, sebelum Zinedine Zidane kembali mengambil alih skuad itu dan sentuhan sebenarnya mula menjelma.

Khabar angin yang mengatakan pertahanan itu akan angkat kaki semakin meningkat dan Zidane pada awal bulan ini pantas memaklumkan keinginannya untuk mengekalkan Marcelo di sebalik minat daripada Juventus.

Pemain Brazil itu tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan Madrid dalam masa terdekat selepas 12 tahun.

Bercakap kepada beIN SPORTS selepas kemenangan malam tadi, pemain berusia 30 tahun itu berkata: "Semua orang tahu saya bahagia dan saya menunjukkannya dalam sesi latihan setiap hari atau ketika beraksi memakai seragam ini.

"Ada banyak perkara yang diperkatakan di luar sana, saya tidak mengendahkannya. Madrid adalah kampung halaman saya dan mereka yang mengenali saya tahu tentang kebenarannya."

Karim Benzema mengetuai Madrid ketika berdepan Athletic untuk muncul salah seorang pemain yang menonjolkan prestasi luar biasa.

Penyerang itu meledak tiga gol ketika Madrid meraih kemenangan yang membanggakan itu, lantas Marcelo memberi penghormatan kepada rakan sepasukannya.

"Kita tahu kualiti yang dimiliki Karim dan sumbangannya terhadap pasukan tanpa mengira sama ada dia mencetak gol atau tidak," katanya.

"Dia merupakan salah seorang pemimpin dalam pasukan ini. Saya tumpang gembira dengan jaringannya tetapi Karim akan berasa lebih bahagia dengan kemenangan yang amat kami perlukan, bukannya jaringannya."

Madrid kini menghuni tangga ketiga, empat mata di belakang seteru setempat, Atletico Madrid, dan 13 mata dipisahkan dengan pendahulu LaLiga, Barcelona, dengan baki lima perlawanan lagi.