Marcelo berpendapat pihak media akan "membunuh" Real Madrid jika mereka gagal menewaskan Liverpool di pentas final Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu ini.

Madrid kini dalam usaha untuk muncul selaku pasukan pertama dalam format moden yang memenangi kejuaraan tertinggi Eropah buat kali ketiga berturut-turut setelah menjulang trofi kedua di Cardiff tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka mengharungi musim 2017/18 dengan penuh kesukaran, apabila berada 17 mata di belakang Barcelona dalam saingan LaLiga serta terkandas dalam suku akhir Piala Raja Sepanyol.

Skuad Los Blancos itu tampil cemerlang dalam saingan Piala Dunia Kelab, Piala Super Eropah dan Piala Super Sepanyol, namun Marcelo percaya kritikan akan menyerang pasukannya sekiranya gagal di Kiev.

"Kita akan lihat apa berlaku selepas aksi final. Sama ada mereka akan membunuh kami atau memuji kami," kata Marcelo.

"Saya tidak rasa musim ini sebagai satu kegagalan. Ia adalah perkataan yang digunakan oleh media tetapi sudah tentu kami ingin memenangi kejuaraan untuk kelab, peminat dan juga keluarga kami," katanya.

Rakan sepasukan Marcelo, Dani Carvajal, berpendapat musim ini jauh daripada kecemerlangan pasukan tetapi menggesa pasukannya agar membuktikan status juara bertahan dalam aksi Sabtu ini.

"Ia menjadi satu musim yang unik, terdapat naik dan turun tetapi kami berada dalam final Liga Juara-Juara Eropah.

"Jika kami tidak menang, tidak adil untuk mengatakan tentang kegagalan. Kami akan kembali ke bilik persalinan dengan penuh kebanggaan walaupun jika ia berlaku," ujar Carvajal.