Marcelo mendedahkan kekagumannya terhadap Juventus tetapi tidak tahu mengapa khabar angin mengenai perpindahannya ke kelab Itali itu dicetuskan.

Juara Serie A itu kerap dikaitkan dengan pertahanan berkenaan untuk kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo, di Bianconeri.

Pernah memainkan watak utama sebelum ini, Marcelo, bagaimanapun, hanya memulakan 11 perlawanan LaLiga berikutan Santiago Solari lebih gemar memilih Sergio Reguilon untuk mengisi pertahanan kiri.

Ketika ditemubual Esporte Interativo sempena rakaman khas mengenai legenda Juve, Pavel Nedved, pemain berusia 30 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang kemungkinan perpindahan ke Itali.

"Saya sendiri ingin tahu di mana khabar angin ini datang kerana ia tidak normal," kata Marcelo. "Ia lucu kerana mereka (akhbar) memaparkan saya sedang menyarung jersi Juve.

"Juve adalah pasukan yang hebat sejak zaman (Pavel) Nedved, saya pernah menghadapi dia dan ia sangat menakjubkan. Saya sempat menukar jersi dengannya.

"Tetapi saya adalah pemain Real Madrid, saya mempunyai kontrak dengan Real Madrid. Tentang isu yang diterbitkan media, saya tidak tahu dari mana ia datang. Saya tidak tahu, begitu juga dengan ramai yang lain. Saya seorang yang jujur.

"Jika ada apa yang perlu diberitahu, saya akan mendedahkannya -- tetapi setakat ini tiada apa-apa untuk diperkatakan."

Marcelo juga mendedahkan tentang bagaimana Ronaldo memaklumkan niatnya untuk meninggalkan Madrid sebelum membantu kelab berkenaan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) buat tahun ketiga berturut-turut.

Pemain antarabangsa Brazil itu berkata: "Ketika kami sedang berlatih untuk menghadapi perlawanan akhir, dia (Ronaldo) berkata kepada saya: 'Saya akan berpindah.'"