Pertahanan Real Madrid, Marcelo, bersedia meninggalkan kelab itu sekiranya mereka tidak menginginkannya tetapi dia tetap optimis mengenai kedudukannya di Santiago Bernabeu.

Musim ini, pemain Brazil itu berdepan salah satu musim yang paling mencabar dalam kariernya apabila hanya tampil sebanyak 12 kali daripada 23 perlawanan LaLiga.

Sergio Reguilon -- telah membuat sembilan penampilan di sebelah pertahanan kiri -- yang ketengahkan pengurus, Santiago Solari, merupakan produk remaja Madrid yang dikenali sebagai Castilla dan kini menjadi pilihan utama berbanding Marcelo.

Sehubungan itu, spekulasi media mengaitkan Marcelo dengan perpindahan ke Juventus.

Marcelo tidak mahu pergi tetapi dia akan melakukannya andai Madrid memutuskan untuk menjualnya.

"Sekiranya saya berada dalam senarai pemain (Madrid) yang mahu dijual, maka mereka boleh membayar pampasan dan semuanya akan diatur," kata pemain berusia 30 tahun itu kepada Esporte Interativo.

"Saya percaya kepada diri dan kerja keras yang saya lakukan. Bagaimanapun, apabila tiba harinya Real Madrid tidak lagi memerlukan saya, maka saya akan pergi. Saya akan berasa sedih tetapi saya akan pergi.

"Apapun, saya pasti bahawa saya tidak akan ditendang keluar."

Marcelo mengakui prestasinya musim ini tidak sebagus seperti lazimnya biarpun dia yakin bahawa dia dalam keadaan baik, cuma kurang keyakinan.

"Tahap prestasi yang saya sering pamerkan adalah sukar untuk dikekalkan," katanya. "Saya berada di bawah kemampuan sebenar pada masa ini tetapi itulah cabaran dalam kerjaya saya.

"Adakalanya mutu persembahan saya boleh sedikit menurun. Malangnya musim ini saya mengalami tiga kecederaan dalam tempoh dua bulan.

"Saya mengalami tempoh sukar dalam bola sepak saya tetapi fasa itu sudah berakhir. Saya perlu mengembalikan keupayaan terbaik dan memulihkan keyakinan.

"Saya bekerja keras dalam latihan tetapi saya perlu beraksi demi mengembalikan keyakinan tetapi secara fizikalnya, saya dalam keadaan baik."