Diego Maradona mengundurkan diri daripada jawatan ketua jurulatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados, disebabkan faktor kesihatan.

Legenda Argentina itu terpaksa meninggalkan kelab berkenaan bagi persiapan menjalani pembedahan bahu dan lutut seperti yang diumumkan hari ini.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Argentina itu dilantik September lalu, namun bertindak meninggalkan jawatannya dalam tempoh tidak sampai setahun.

"Berdasarkan nasihat doktor, dia memilih untuk menumpukan waktunya untuk kesihatan dan akan menjalani pembedahan di bahu dan lutut.

"Kami mahu berterima kasih kepada seluruh keluarga Dorados dan akan meneruskan impian ini pada masa akan datang," tulis peguamnya, Matias Morla, dalam Twitter.

Maradona -- yang menandatangani kontrak tiga tahun untuk menjadi presiden kelab Belarus, Dinamo Brest, pada Mei 2018 sebelum memilih menyertai Dorados -- menggantikan tugas yang sebelum ini digalas Francisco Gomez.

Ikon berusia 58 tahun itu gagal membawa pasukan berkenaan ke Liga MX musim depan selepas tewas 1-2 secara agregat kepada Atletico San Luis, bulan lalu.

Sebelum tewas kepada San Luis dalam final Apertura itu, Dorados terlebih dahulu menamatkan Liga Clausura di tempat kelima sebelum menewaskan Sonora dan Zacatecas dalam pusingan play-off.

Bagaimanapun, San Luis, yang akan menyertai liga utama Mexico musim depan selepas memenangi Apertura dan Clausara, menguburkan impian skuad kendalian Maradona itu.

"Bersama-sama kita mengejutkan dunia," kata Dorados dalam ciapan Twitternya.

"Kita telah menunjukkan bola sepak merupakan kegilaan dan jiwa.

"Terima kasih di atas segala-galanya, bos. Cepat sihat dan kita akan bertemu lagi."