Diego Maradona mengkritik Jorge Sampaoli dan berharap peningkatan dipamerkan jika jurulatih Argentina itu mahu menyelamatkan kariernya.

Argentina diikat 1-1 oleh Iceland dalam aksi sulung peringkat kumpulan Piala Dunia, dengan Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak kedua perlawanan.

Maradona, yang sebelum ini mengendalikan La Albiceleste, menyelar bekas pengendali Chile dan Sevilla itu di atas aksi hambar yang dipamerkan.

"Jika beliau meneruskan perkara ini, Sampaoli mungkin tidak akan kembali ke Argentina," katanya.

"Perancangannya amat memalukan. Walaupun pemain-pemain Iceland rata-rata memiliki ketinggian 1.90m, kami banyak bermain hantaran tinggi. Argentina kurang bermain dengan hantaran rendah.

"Saya tidak menyalahkan pemain. Saya menyalahkan persiapan yang kurang dan ia adalah punca kami gagal melakar kemenangan.

"Anda mampu membawa 25 pemain terbaik tetapi anda gagal bekerjasama dengan mereka. Kami dapat melihat taktikal Iceland lebih lancar daripada Argentina dan ia adalah sesuatu yang memalukan," katanya.

Maradona turut terkejut kerana Argentina gagal menyempurnakan permainan asas dengan baik dan berharap mereka akan meraih keputusan cemerlang berdepan Croatia.

"Pemain-pemain dilihat agak bergelut bermain dengan baik serta gagal melakukan hantaran-hantaran mudah.

"Messi merupakan satu-satunya jalan penyelesaian mereka. Ini merupakan satu masalah yang serius kerana Nigeria memiliki pengalaman, melancarkan serangan balas dan tahu cara untuk menjaringkan gol."