Diego Maradona berasakan Lionel Messi tidak perlu membuktikan apa-apa kepada Argentina apabila bintang Barcelona itu bersedia untuk menghadapi Piala Dunia yang mungkin terakhir baginya.

Argentina mara ke final di Brazil empat tahun lalu tetapi kalah di tangan Jerman dengan Mario Gotze menjaringkan gol tunggal dalam masa tambahan.

Maradona menjadi inspirasi kepada kejayaan Argentina ketika kali terakhir mereka memenangi Piala Dunia di Mexico pada 1986 sementara dia juga mengetuai pasukan semasa mereka tewas dalam final empat tahun berikutnya.

Tetapi Messi tidak mampu mencipta kejayaan setanding itu apabila pasukannya tewas tiga kali dalam final kejohanan utama, dengan penyerang itu bersara buat sementara waktu di pentas antarabangsa selepas tewas kepada Chile dalam Copa America Centenario pada 2016.

"Saya akan menasihati Messi untuk terus bermain, untuk menikmati perlawanan," kata Maradona kepada Omnisport.

"Dia harus melupakan pengkritik, jika dia boleh memenangi Piala Dunia atau tidak.

"Dia tidak perlu menunjukkan apa-apa. Dia perlu menikmati perlawanan di padang.

"Saya tidak tahu (jurulatih Jorge) Sampaoli, saya tidak tahu bagaimana dia bermain. Tetapi, saya tahu ramai pemain dan saya tahu mereka akan memberikan segala-galanya.

"Dan saya fikir mereka mempunyai peluang yang baik untuk menang. Tetapi saya tidak memilih (Argentina) sebagai pasukan kegemaran kerana pasukan kegemaran tidak pernah menang."

Messi dan Maradona sering dibandingkan tetapi bekas pemain antarabangsa Argentina, Hernan Crespo, tidak percaya perbandingan dia antara duo itu memberi manfaat.

"Ia tidak berguna untuk membandingkannya kerana kita perlu menikmatinya," kata Crespo kepada Omnisport. "Maradona dan Messi kedua-duanya pemain Argentina dan memberi kesan yang sangat luar biasa terhadap sejarah bola sepak."