Bekas bintang Argentina, Diego Maradona, mengkritik keputusan Sevilla untuk melantik Vincenzo Montella selaku pengurus bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Eduardo Berizzo.

Aksi pertama Montella dalam LaLiga menentang seteru utama, Real Betis, berakhir dengan kekalahan 3-5 di Ramon Sanchez Pizjuan.

Berizzo, yang melalui pembedahan tahun lalu selepas disahkan menghidap kanser prostat, telah dipecat akibat persembahan pasukan di bawah prestasi sebenar.

Montella, yang pernah mengemudi Sampdoria dan Fiorentina, dipecat oleh AC Milan pada November lalu selepas Rossoneri tewas enam perlawanan daripada 13 aksi liga.

Situasi itu membuatkan Maradona yang pernah beraksi buat Sevilla di penghujung kariernya membidas tindakan pengarah bola sepak kelab, Oscar Arias.

"Sesuatu yang gila apabila Montella mengambil-alih tempat Berizzo," ujar Maradona bersama gambar Arias dan Montella di laman Instagram.

"Terutamanya apabila Montella disingkirkan oleh Milan selepas prestasi yang buruk. Terdapat beribu-ribu calon lagi yang lebih layak.

"Seorang ahli perniagaan tidak boleh mengawal bola sepak dan Berizzo harus dipertahankan. Ia harus diubah," katanya lagi.